Saya mula benar-benar memahami betapa seriusnya plagiarism adalah ketika saya menjejakkan kaki di menara gading 7 tahun yang lalu. Saya tak pasti sama ada memang guru sekolah saya tidak pernah mengajar tentang apa itu plagiarism atau saya yang ketinggalan ketika di kelas.
Ya, saya banyak cakap ketika didalam kelas dan merupakan antara pelajar yang sengaja memilih tempat duduk di barisan belakang kerana banyak aktiviti sampingan boleh dilakukan. Mungkin sebab itu saya tak pernah dengar tentang plagiarism.
Ketika di univerisiti, pensyarah saya berkali-kali mengingatkan perkara ini ketika kami diberikan tugasan. Lagi hebat jika pensyarah saya itu seorang profesor, dimana mereka telah mengarang beberapa buah buku dengan setiap satunya mempunyai sumber rujukan yang berjela-jela. Jadi, bodohlah kalau pelajar meniru bulat-bulat mana-mana buku atau bahan tanpa memberikan nota kaki atau nota rujukan.
Kini, saya masih lagi belajar. Peraturan yang sama berkenaan plagiarism juga masih diguna pakai walaupun di lain institusi. Penalti yang serius akan dikenakan sekiranya didapati pelajar telah melakukan plagiarism.
Namun, bagaimana pula jika pihak institusi pengajian telah terang-terangan melakukan plagiarism dalam modul yang mereka terbitkan? Adakah pelajar mempunyai hak untuk melapor atau mendedahkannya? Saya juga kurang pasti. Silap haribulan, mungkin si pendedah atau pelapor akan disaman pula.
Inilah hakikat. Kadang-kala sedar atau tidak sesuatu peraturan itu agak samar dan mungkin telah dibuat untuk sebelah pihak sahaja. Fikir-fikirkanlah.

















