Sekali lagi masyarakat kita dikejutkan dengan berita pembunuhan kejam anak kecil lagi tak berperikemanusiaan. Terus-terang ingin saya luahkan betapa saya benci perkara sebegini berlaku apatah lagi ia melibatkan insan yang lemah dan mana mungkin mampu melawan. Bertambah saya benci apabila mengetahui anak itu didera secara seksual dengan begitu dahsyat.
Ini bukan lagi kerja manusia. Mereka yang bertanggungjawab layak digelar binatang! Saya simpati dengan keluarga mangsa. Disamping itu, timbul pula cerita yang kononnya bapa mangsa telah berhutang dengan Along dan kemungkinan itulah yang mungkin menjadi penyebab perkara yang tidak diingini ini berlaku. Dari teman serumah saya sehinggalah makcik cleaner di pejabat teman lelaki saya sibuk menyampaikan cerita ini.
Tanpa mengira ia benar atau tidak, tidak cukupkah penderitaan yang telah anak kecil itu alami, kita yang hidup ini sibuk menyampaikan berita yang mungkin mengaibkan keluarga mangsa? Bukankah kita sepatutnya mendoakan agar roh anak kecil itu lebih aman dan keluarganya dapat menerima dugaan dengan redha? Bukankah kita masing-masing sepatutnya cermin diri kenapa perkara ini berlaku dan bagaimana untuk mengatasinya?
Cerita-cerita tabloid sebegini merupakan satu sindrom dimana masyarakat cuba menidakkan perkara yang zahir. Kononnya anak kecil itu menjadi mangsa keadaan. Kerana ayahnya berhutang dengan Along. So, sesiapa yang ada anak tetapi keluarga mereka tidak berhutang dengan Along akan terlepas dari risiko ini. Bodoh! Ooops! Maaf saya terkasar.
Maksud saya, perkara atau risiko ini akan berlaku pada sesiapa sahaja. Ia tidak mengira sama ada bakal mangsa itu gadis kecil atau dewasa, tak kira mereka Melayu atau bukan Melayu, tak kira bertudung atau seksi, tak kira cantik atau kurang menarik, tak kira didalam rumah atau diluar, yang PENTING ialah PELUANG! Apabila mana-mana perempuan terdedah kepada peluang menjadi mangsa, maka berdoalah sekurang-kurangnya mereka hanya meminta wang dan bukannya memperkosa mereka dengan kejam!
Jadi saya harap, masyarakat lebih membuka mata dengan isu sebegini. Ibubapa harus memantau anak-anak. Adik-beradik sentiasa melindungi saudara perempuan mereka. Tidak timbul isu wanita boleh ‘independent’ dalam isu keselamatan. Mereka memang memerlukan perlindungan dari saudara lelaki mereka.
Yang pasti, ibubapa tidak sepatutnya terlepas pandang dari anak-anak mereka. Jangan sibuk berebut baju di shopping complex sampai lupa anak disisi. Jangan ingat anak pergi main dengan kawan-kawan di taman permainan yang ramai orang tidak akan diculik. Jangan ingat anak pergi tidur rumah kawan yang keluarganya kita kenali tidak akan berlaku perkara diluar jangkaan. Apatah lagi membiarkan anak perempuan kecil pergi ke pasar malam diwaktu malam!!

