Kalau anda suka jalan-jalan cari makan dan mahu menikmati hidangan anda dengan ambiance yang menarik, apa kata saya cadangkan anda makan malam di The Fisherman’s Cove di Feast Floor,Starhill Gallery. (Mereka menamakan Ground Floor dengan nama Feast Floor). Saya pasti anda tentu suka dengan suasana yang bakal anda alami sambil menjamu selera. Saya berpendapat tempat ini amat sesuai bagi anda yang ingin membawa teman istimewa dan menikmati suasana romantik dan privasi.
Dengan hiasan dalam yang ala rumah boat, ia seolah membuatkan anda sedang berada di atas bot yang rustic dengan binaan buluh. Jika anda memilih tempat duduk di tingkat atas anda akan dapat melihat dengan lebih jelas kesemua chef menyediakan makanan kerana restoran ini mengamalkan konsep dapur terbuka.
Disamping itu anda akan boleh memilih sendiri hidangan anda sama ada ikan, ketam atau lobster dari akuarium yang anda boleh lihat di sini serta cara penyediaan pilihan anda sama ada kukus, pan-grilled, panggang atau sebagainya. Ini bermakna hidangan anda adalah segar dan dimasak terus hanya untuk anda. Selain itu, menu anda juga tidak terhad kepada seafood semata-mata. Terdapat juga hidangan lain dimana pihak mereka akan berusaha menyediakannya khas untuk anda. Harga yang dikenakan ialah berdasarkan berat ikan yang anda pilih.
Bagi hidangan pembuka selera anda akan dihidangkan komplimentari potongan roti untuk dimakan bersama kepingan nipis salmon mentah untuk dicicah bersama sos minyak zaitun istimewa. Nampak simple dan biasa, tetapi apabila setelah anda mencuba anda pasti menggemarinya. Saya dan pasangan telah memesan hidangan ikan marble goby iaitu catch of the day dan kami memilih ia untuk dikukus. Percayalah, saya berpendapat disini adalah tempat terbaik pernah saya menikmati ikan kukus. Oh ya, jangan lupa memesan minuman yang sesuai sebagai melengkapkan hidangan anda dan mintalah cadangan dari waiter yang setia melayan anda.
Bagi saya, ini adalah tempat terbaik yang saya kunjungi setakat ini kerana saya begitu enjoy dengan suasananya dan anda pasti tidak akan mempertikaikan harganya kerana ia memang berbaloi dengan pengalaman fine dining anda.

